::Blog ini ditaja oleh::

Assalamualaikum @ Selamat Datang!
Sudah menunaikan kewajipan anda?
Selamat membaca! Jangan lupa tinggalkan komen. :)

***

Adakah anda tahu?
Setiap komen anda akan membantu saya untuk:

1. Tidak syok sendiri.
2. Melakukan penambah baikan.
3. Memberi semangat untuk terus berkarya.

Jadi apa lagi? Berilah sepatah dua kritikan untuk saya terus menulis. (^^,)v

::aku_dia's current status::

04.05.2016

Mencari momentum untuk menulis.

Anda masih boleh membeli Bidadari daripada saya. :)
Boleh pm saya di facebook Hannah Dhaniyah.
Atau hantarkan e-mail ke aku_dia1911[at]yahoo[dot]com ^_^

25 December 2016

Novelette: Dia Superstar P2



Dia Superstar 05
            “Kenapa tiba-tiba aje ni?” boleh kesan nada suara Riz yang tidak senang.
            “Mana ada tiba-tiba. Aku dah lama fikirlah. Bosan tahu pergi kelas, balik kelas je. Hujung minggu terperuk dekat kampus tak ada aktiviti. Tak ada life. Sekurang-kurangnya, bila ikut budak-budak ni, terhibur sikit hidup aku.” Aku menjawab senada.
            Riz nampak bengang betul. Aku pula tak beritahu langsung plan aku untuk mengikut group Anas hiking. Mana nak tahu dia cari aku hujung minggu hari tu. Ingatkan dia sibuk sebab sejak dia jadi model, boleh kira berapa kali je kami jumpa masa hujung minggu. Tiba-tiba balik daripada panjat gunung, aku terima tiga puluh missed calls daripada dia dan satu daripada Isma. Mesej tak usah kiralah. Satu dua je mesej yang bernada risau. Masuk mesej ke tiga dan seterusnya, Riz dah marah-marah sebab aku panjat gunung tak bercerita dekat dia.
            “Kau tak ingat ke Sabtu tu hari apa?”
            Aku mengerutkan dahi. “Apa soalan kau ni?”
            “Sabtu lepas. Berapa hari bulan?”
            “Hah. Cakaplah dengan jelas. Ini dah sebut Sabtu lepas tu tanya hari apa.”
            “Izyana. Aku tak bergurau, ok? Aku tengah marah ni,” Riz memandang aku tajam. Sedikit sebanyak, aku rasa kecut perut. Dia tak main-main.
            “Sepuluh haribulan.”
            “Bulan?”
            “Oktober.”
            “Hari apa tu?” Riz angkat kening.
            Aku tutup mulut rapat-rapat dan menggeleng. Tak nak jawab sebab aku sendiri tak tahu.
            Birthday aku.”
            “Oh...” spontan itu perkataan itu terkeluar daripada bibir aku.
            “Oh je?” Riz membuat muka.
            “Hah... happy belated birthday!”
            Riz mengeluh. Tangannya meraup wajahnya kasar.
“Kau tahu tak? Aku berusaha gila nak dapatkan cuti hari Sabtu sebab nak sambut birthday aku dengan kau. Tapi kau? Boleh pula ikut si Anas tu panjat gunung. Langsung tak beritahu aku pula tu. Sikit pun tak ada hint.
            Sorrylah. Aku mana sangka kau nak cari aku...”
            Riz tidak membalas. Wajahnya masam. Dia mencapai air tin yang dia letakkan di atas tembok.
            So? Apa yang kau nak buat untuk ganti balik apa yang berlaku?”
            “Maksud kau?”
            “Aku dah prepare everything dah untuk hari tu. Siap buat reservation dekat restoran lagi. Takkan kau nak wish  aku belated birhtday dekat kaki lima sebelah hostel kau ni je?”
            Aku menggaru kening. Pelik-pelik pula permintaan Riz malam ni. Sedar tak jam dah pukul dua belas setengah? Ini kalau Isma nampak ni confirm kena tegur sebab tak manis berdua-duaan sampai tengah-tengah malam. Mujurlah kaki lima sebelah hostel ni tempat lalu lalang pelajar kolej.
            “Penting sangat ke nak sambut birthday kau dengan aku, Riz?” soalku perlahan.
            Mendengarkan soalan aku, Riz mengangkat muka dan merenung aku lama.
            “Kenapa? Aku tak penting pada kau ke selama ni?”
            “Apa ni... aku tanya lain kau tanya lain.”
            Riz merenung aku lama. Kemudian dia mengeluh perlahan.
“Penting. Aku akan sambut hari jadi aku dengan orang yang penting dalam hidup aku. Faham tak?”
            Dada aku mula berdebar mendengarkan jawapan Riz. “Maksud kau?”
            “Argh... Izyana. Stop playing dumb! Kau tahu aku suka kau, kan? Masih nak tunggu aku confess juga? Fine. Izyana, listen here. Aku memang sukakan kau. Aku takkan habiskan masa aku tak tentu arah dengan perempuan yang aku tak nak ada komitmen. Kau sendiri tahu aku tak pernah rapat dengan mana-mana perempuan walaupun ramai dok luahkan perasaan diorang dekat aku?”
Aku terkelu. Sungguh tidak menjangkakan itu jawapan Riz. Jawapan berserta luahan perasaan yang selama ini aku nanti-nantikan. Aku menelan air liur. Tiba-tiba saja rasa kekok walaupun aku turut merasakan benda yang sama.
“Aku suka kau juga. Cuma... aku tunggu kau yang cakap dulu,” kataku lalu memalingkan wajah daripada Riz. Pasti muka aku dah merah gila kerana menahan malu. Argh!
Riz ketawa kecil. “Aku tahu.”
Aku mengetap bibir. Mataku menjeling Riz. Tahu, tapi buat macam tak tahu. Lepas tu aku pula yang dia cakap ‘play dumb’.
“Kau nak hadiah apa untuk birthday kau yang dah lepas tu?”
“Hrm... kita kahwin nak?”
“Gila! Belajar tak habis lagi.”
Riz ketawa apabila melihat aku mula menggelabah.
“Baru bergurau sikit dah cuak.” Riz menjeling.
“Banyaklah kau bergurau bab-bab kahwin ni. Nanti kau propose betul-betul, aku reject baru tahu.”
“Sampai ke hati nak reject?”
Aku membiarkan soalan Riz tanpa jawapan.
Soon. Lepas habis belajar, kerja aku pun dah stabil... aku jumpa parents kau. Untuk make up balik program yang tak jadi hari Sabtu hari tu... aku nak kau ikut aku esok.”
“Esok? Ada apa?”
“Ada dinner syarikat. Aku nak kau teman aku pergi.”
Aku sekadar mengangguk. Ikut sajalah. Esok malam pun, aku tak ada apa-apa aktiviti.
“Laju je setuju bila ajak makan.”
“Ek eh! Macam nak cari gaduh je?”
Riz ketawa.
“So... berapa kilo dah turun?”
***
Menyesal!
Menyesal gila aku setuju untuk ikut Riz ke makan malam syarikat dia ni. Mana tidaknya, sejak mula majlis sampailah dekat dua jam berlalu, Riz tak sudah-sudah melayan orang yang menegur. Mentang-mentanglah dia model yang tengah naik. Sampai nak makan pun banyak kali terhenti. Sesekali dia berdiri untuk bergambar. Cemburu tahu tak? Kalau bergambar biasa tak apa juga. Ini tangan sama-sama ‘merenyam’ nak berpegang-pegang, berpeluk-peluk. Urgh!
            Aku tahankan rasa hati apabila melihat Riz merangkul pinggang seorang wanita yang baru saja menegurnya lima minit yang lepas. Cantik orangnya. Tinggi lampai. Memang sesuai sangat jadi model memperagakan pakaian. Tetapi boleh tak bergambar tu tangan duduk tepi? Ergh! Sakitnya rasa hati! Dengan aku pun Riz tak pernah buat begitu tau! Kenapalah Riz boleh minat bidang ni? Dan... macam manalah aku hendak pujuk hati bila berdepan dengan situasi macam ni?
            “Dah habis dah?” tegur Riz bila terpandangkan pinggan aku yang sudah kosong. Sudu dan garfu pun aku susun elok sebagai tanda selesai. Aku sekadar mengangguk manakala Riz meneruskan suapannya yang terhenti seketika tadi.
            “Semua yang tegur kau tadi tu... under company ni juga ke?” soalku sekadar berbasa-basi.
            “Hrm. Kitorang semua satu label. Satu company.
            “Popular betul kau. Tak menang tangan nak melayan orang ajak bergambar.”
            Riz sekadar ketawa mendengar komen aku. Boleh nampak dari wajah dia, dia gembira dengan apa yang dia lalui sekarang. Berbeza sungguh dengan reaksi aku. Sudahlah sewaktu Riz memperkenalkan aku pada kawan-kawannya, mereka pandang aku sebelah mata je. Tahulah aku tak secantik mereka.
            “Tadi ada seorang perempuan, rendah orangnya. Dia tu Datin Mira tu. Pemilik syarikat produksi. Tadi dia ada sebut-sebut nak offer aku job. Kau doa-doakanlah. Boleh tengok aku dalam televisyen pula nanti.”
            Aku sekadar tersenyum. Dilema dibuatnya. “Buatlah mana yang kau rasa terbaik...” kataku perlahan.
            Riz mengangguk.
“Kau tahu apa yang buat aku sayang kau?” soal Riz tiba-tiba.
Aku mengangkat kening bertanya. Baru beberapa hari lepas dia cakap suka, malam ni dia cakap sayang. Cair dibuatnya! Terlupa sekejap rasa cemburu yang bermaharajalela sebentar tadi.
“Kau sentiasa support aku. Baik dari belajar, sports, modelling...” Riz memandang aku dengan senyuman manis. “Thank you, Izyana. I really appreciate it.”
Kata-kata Riz membuatkan aku sesak nafas. Apa yang aku rasa dan apa yang dia nampak bagai langit dengan bumi. Aku tertunduk memandang alas meja. Cuma untuk berfikir secara tenang dan rasional. Kalau betul aku sukakan Riz, pasti aku kena terima dan sokong apa yang dia minat dan dia lakukan. Oh, Riz! Beri aku masa untuk belajar menerima dunia barumu.



Dia Superstar 06
            Careful, princess...” pesan Anas sewaktu aku hendak memanjat tangga yang disediakan untuk naik ke atas.
“Okey...” balasku. Dengan berhati-hati aku cuba memanjat naik. Bila badan terasa lain macam, aku memperlahankan kelajuan aku. Nafas aku hela perlahan. Baru hendak memijak anak tangga yang ketiga, rasa perit dan nyilu di bahu mula muncul. Aku mengerutkan dahi untuk menahan rasa sakit yang tiba-tiba mencengkam. Ah sudah!
Princess, kau ok?” soal Anas. Pasti dia nampak keadaan aku sudah nampak lain
“Aku okey. Ini yang last kan? Dah tak jauh kan?”
“Ha’ah. Last. Kalau kau rasa nak rehat dulu, kita take five sekejap.”
Aku mula menimbangkan cadangan yang Anas sebutkan. Bukan sikit punya curam bukit yang kami nak naik depan ni. “Take five boleh?” pintaku.
Anas tersenyum sehingga menampakkan giginya.
“Turun,” arahnya.
“Kita take five dulu, guys...” beritahu Anas kepada ahli kumpulan yang lain. Masing-masing hanya menurut. Beg sandang diletakkan di atas tanas. Aku pula turun perlahan-lahan dan dibantu Anas yang berada di bawah.
“Betul ke kau ok ni? Aku dari tadi perasan kau asyik urut tangan kau. Cakap betul-betul, princess. Ramai lagi aku nak kena jaga ni. Bukan kau seorang.”
Kata-kata Anas membuatkan aku rasa bersalah. Dia sebagai ketua kumpulan, pasti kena mengambil berat setiap ahli. Aku tangan aku kembali mengurut bahu yang sakit tadi.
“Bahu aku sakit. Ingatkan lepas fisio dulu dah ok.”
Anas terdiam. Tanpa sepatah kata, dia mendapatkan kotak first aid yang dipertanggungjawabkan kepada Hani.
“Buka beg tu.”
Aku menurut dan membiarkan Anas memberikan bantuan kecemasan. Setelah selesai, kotak first aid diberikan kembali kepada Hani.
“Biar Ikram naik dulu. Lepas tu kau follow. Aku ada belakang kau kalau apa-apa,” ujar Anas sebaik saja waktu rehat lima minit sudah tamat.
Aku menurut. Selepas memberitahu ahli kumpulan yang lain, Ikram mendahului kami untuk memanjat bukit  yang terakhir. Sebaik saja sampai giliran aku, aku mencuba sehabis baik. Rasa sakit aku tahan dan aku anggap ia hanya mainan psikologi.
“Akhirnya!”
“Alhamdulillah!”
“Finally!”
Kami masing-masing tersenyum apabila misi memanjat Gunung Cantik berjaya. Seawal enam pagi lagi kami sudah memulakan perjalanan dan hampir dua jam masa kami ambil untuk sampai ke atas ni. Hilang segala rasa penat dan sakit bila memandang pemandangan cantik di depan mata.
“Cantik, kan?” bisik Anas yang baru duduk di sebelah aku.
Aku mengangguk dan tersenyum. Cantik... cukup cantik.
“Ini kali ketiga aku naik Gunung Cantik ni. Sesuai dengan nama dia. Cantik...”
“Oh ya?”
Anas mengangguk. “Kalau berbual dengan orang yang suka hiking, gunung ni antara gunung yang aku akan suggest.”
Aku sekadar tersenyum mendengarkan cerita Anas. Kami leka memerhati pemandangan yang terbentang di depan mata sehinggalah dipanggil oleh ahli kumpulan yang lain untuk makan.
Kami menikmati makanan dalam keadaan yang ceria. Ada saja cerita yang dibuka dan ada saja lawak yang diperdengarkan. Sungguh, aku sangat hargai masa-masa aku bersama dengan rakan-rakan panjat gunung ni.
“Kita main truth or dare nak?” cadang Faizal yang duduk selang tiga orang daripada aku.
“Nak!” Hani terlebih dahulu menjawab. Entah kenapa matanya tiba-tiba saja menjeling ke arah aku.
“Yang lain? Takkan Hani seorang je?”
“Aku on je.” Ikram menjawab.
Aku, Anas dan yang lain hanya mengangguk. Sementara menunggu masa untuk turun, apa salahnya main game seround dua.
“Anas.” Faizal memanggil apabila giliran Anas tiba.
“Hrm...” Anas membalas tanpa perasaan.
“Truth or dare?”
“Dare.” Anas memilih yakin.
“Aku nak bagi... aku nak bagi....!” tiba-tiba Hani menjerit sebelum Faizal bersuara.
“Hah. Bagi... bagi...” Faizal memberi ruang.
Hani sudah tersenyum nakal. “Aku tahu ada seseorang yang kau suka dalam group ni. Jadi, aku cabar kau luahkan perasaan kau pada dia hari ni.”
Budak-budak lain dah bising mendengar cabaran yang Hani berikan kepada Anas. Dalam kumpulan ni, ada tiga orang je perempuan. Aku, Hani dan Fatihah yang pendiam tu. Kalau tengok dari gaya Hani tadi, macam bukan dia orangnya. Tinggal aku dengan Fatihah sajalah yang mungkin Anas suka. Hish. Tak pasal-pasal aku susah hati.
Aku menoleh ke arah Anas. Anas sudah ketawa kecil. Telinganya tiba-tiba saja kemerahan. Malu agaknya bila Hani mengenakan dia. Pandangan aku beralih pula ke arah Fatihah yang diam dan tunduk memandang tanah. Mungkin juga Anas sukakan Fatihah. Aku rasa ramai dah tahu aku rapat dengan Riz walaupun kami tak declare hubungan kami lagi.
Anas menarik nafas dalam. Dia tergelak kecil sebelum akhirnya membuka mulut.
“Hani... pandai kau, kan? Kau tahu dia dah ada yang punya kan?”
Hani sekadar ketawa. “Belum ada apa-apa lagi. Tak salah pun kau luahkan perasaan kau pada dia.”
Oh oh... Dah ada yang punya? Aku atau Fatihah?
“Kurang asam betul!” bebel Anas.
Ahli kumpulan yang lain dah ketawa melihatkan reaksi Anas. Aku pula hanya tersenyum hambar. Orang tak tahu hujung pangkal cerita. Mana nak terhibur sama?
“Izyana.” Tiba-tiba saja Anas memanggil nama aku.
Aku tergamam. Pandangan aku halakan ke arah Anas. Biar benar? Takkanlah aku orangnya? Oh, Anas! Tolong cakap kau hanya saja-saja hendak bergurau.
***
Kami tiba di kolej pada lewat petang. Memandangkan aku datang dengan Anas tadi, Anas menghantar aku pulang sehingga ke asrama. Dalam kereta kami masing-masing melayan perasaan sendiri. Sesekali aku melihat telefon bimbit di tangan. Manalah tahu ada mesej daripada Riz.
Sorry, princess kalau aku buat kau tak selesa.”
Aku menoleh ke arah Anas di sebelah dengan senyuman. Nak kata apa lagi? Takkan aku nak marah Anas hanya kerana dia beritahu dia sukakan aku? Lagipun dia sendiri cakap dia tak harap untuk aku terima dia. Cukup sekadar berkawan, kata Anas.
“Tak ade apalah. Hani pun tak patut buat macam tu,” kataku selamba. Dalam hati sebenarnya sudah berjuta kali aku memaki Hani. Tak patut langsung buat macam tu walau apa pun alasannya. Yang Anas pula selamba beritahu perasaan dia depan-depan semua orang. Gila betul.
“Jangan serik ikut kitorang hiking lagi. Anggap je apa yang berlaku dekat atas tadi hanya game,” pujuk Anas lagi.
“Ye... aku tahu.”
Anas tersenyum nipis. “Tangan dah okey?”
Aku mengangguk.
“Okeylah. Pergi masuk. Aku nak gerak ni.”
“Okey. Thank you, Anas.”
Anas mengangguk. Sebaik saja aku melangkah masuk ke dalam bangunan asrama, kereta Anas berlalu pergi.
Aku meletakkan beg ke atas lantai sebaik saja pintu bilik aku buka. Isma tiada di bilik. Petang-petang macam ni dia akan pergi jogging sekeliling kolej. Selepas menutup pintu, aku merebahkan badan ke atas katil dengan pakaian yang masih belum bertukar. Entah kenapa, aku sudah mula rasa tidak selesa untuk mengikut kumpulan Anas memanjat gunung lagi. Kalaulah Riz dengar apa yang berlaku, agak-agak dia naik angin tak? Ah... Riz! Dia sendiri ramai yang minat, ramai yang puja. Takkanlah dengan Anas pun dia nak tarik muka?
            Aku melihat lagi telefon bimbit di tangan. Masih mengharapkan Riz menghantar pesanan untuk aku walaupun hanya sekadar smiley.
Dia Superstar 07
            Aku merintih apabila rasa sakit di bahu semakin menjadi-jadi. Sejak bangun dari tidur pagi tadi aku dah mula rasa sakit. Mungkin sebab semalam terlalu banyak menggunakan tenaga di bahagian tangan yang menyebabkan sakitnya berulang. Sehingga memaksa aku meminta bantuan Isma untuk mengurut bahu aku dengan minyak panas.
            “Pergi hospitallah, Iz...” suruh Isma lagi. Kalau dikira sejak aku memberitahu dia tangan aku sakit, hampir dua puluh kali juga dia menyebut perkara yang sama.
            “Ok ni. Kau tolonglah urutkan.”
            “Kalau ok, aku tak perlu urut, Iz...”
            “Iyalah. Aku ni menyusahkan kau je kan?” ujarku sedikit berjauh hati.
            Spontan Isma menepuk belakang aku kuat. Aku mengaduh.
            “Kalau kau menyusahkan aku, aku tak berkawan dengan kaulah!” marah Isma.
            Aku ketawa kecil. “Iyalah. Aku dahlah sakit. Kau cakap macam tu, kecik hati aku tau.”
            “Sebab tu aku suruh kau pergi hospital. Dengar apa doktor cakap. Kau ni tak boleh buat aktiviti lasaklah Iz.  Cukup-cukuplah tu naik gunung tu...”
            Aku sekadar mendengar kata-kata Izyana. Lima minit berlalu, aku cuba untuk menggerak-gerakkan tangan aku. Sakitnya sudah berkurangan.
            “Thanks, Isma. Kaulah sahabat aku dunia akhirat.”
            Isma sekadar mencebik. Dia bukannya suka nak sweet-sweet hatta dengan kawan baik sendiri. Anak bongsulah katakan. Tetapi, dia cukup mengambil berat tentang kawan-kawan dia walaupun selalu tayang muka tak berperasaan.
            “Pergi hospital tu. Nanti melarat kau juga yang susah nak belajar.”
            “Baik....” kataku lalu bangun dan menuju ke meja belajar. Laptop aku buka dan laman forum gosip artis tempatan aku buka. Hobi semenjak Riz menjinakkan diri ke dalam dunia. Sebaik saja laman sesawang forum terpapar di skrin, aku menarik nafas dalam apabila terpandang tajuk satu bebenang yang tertulis nama Riz.
            ‘Riz Hanafi. Model kacak yang semakin meningkat naik.’
            Aku menelan air liur. Tajuk bebenang itu aku tekan. Seketika kemudian terpapar gambar-gambar Riz berserta pengenalan dirinya. Berbakul-bakul pujian yang diberikan buat Riz. Pujian-pujian yang membuatkan aku cemburu. Tak lupa juga kutukan yang diberikan oleh netizen yang tidak menyukainya. Aduh Riz... sedarkah kau dunia yang kau pijak ini penuh dengan fitnah dan onak duri?
            ***
            Seperti yang dinasihatkan Isma, aku pergi ke hospital untuk mendapatkan rawatan dan nasihat doktor. Hampir dua jam juga terpaksa menunggu memandangkan ramai orang yang datang ke hospital kerajaan ni. Aku mengetap bibir apabila mendengar consultation daripada doktor. Setengah jam berjumpa dengan doktor, aku pergi ke kafeteria dan membuat panggilan ke rumah.
            “Tangan Yana sakit balik,” kataku memulakan cerita.
            Mama mengucap panjang. “Habis tu macam mana?”
            “Doktor cadangkan Yana buat surgery. Sebab makin teruk.”
            Aku hanya mendengar helaan nafas mama di hujung talian. Pasti dia turut risau memikirkan apa yang terbaik buat aku.
            “Papa tak ada dekat rumah ni. Petang sikit Yana telefon balik. Papa ada meeting dekat utara semalam. Ni dia dalam perjalanan balik ni.”
            Aku mengangguk. “Oklah kalau macam tu. Kalau mama rasa macam mana?”
            “Kalau itu yang terbaik... kita ikutlah nasihat doktor tu. Dia lebih pakar. Bukan sehari dua dia belajar untuk jadi doktor. Lagipun, dah macam-macam jenis penyakit manusia yang dia jumpa.”
            Aku menghela nafas berat. Ada benarnya kata-kata mama tu. Selepas memberi salam, aku mematikan talian. Tangan bermain-main dengan straw. Fikiran sudah merancang beberapa perkara seandainya aku jadi masuk ke dewan bedah. Erk! Tiba-tiba saja seram sejuk di buatnya.
            Pulang dari hospital, aku cuba untuk menghubungi Riz. Sakit pula hati bila dia seolah-olah hanyut dengan dunia dia sendiri. Apa tidaknya, sudahlah jumpa pun payah sekali. Mesej pun ada masa dia balas, ada masa dia ‘last seen’ kan aku. Huh!
            “Helo, Iz...”
            “Kau kat mana Riz? Busy sangat ke? Sepuluh kali aku call baru ni kau jawab...” soalku sedikit berjauh hati.
            “Erm...” Tiba-tiba telinga aku menangkap bunyi Riz menguap. Tengah tidurlah tu.
            “Subuh tak tadi?”
            “Subuh... lepas solat baru aku tidur.”
            “Hrm...”
            “Aku letih sangat ni, Iz. Malam tadi shooting sampai pukul lima. Mengantuk sangat ni.”
            Aku mengerutkan dahi. “Shooting? Aku tak tahu pun?”
            “Bukan aku dah beritahu kau ke? Yang aku dapat offer watak sampingan untuk drama terbaru Datin Mira?” soal Riz.
Suaranya sudah mula menunjukkan dia mula segar. Bersalahlah tu aku tak tahu apa-apa tentang perkembangan karier dia.
            “Mana ada. Kau tak cakap apa pun...”
            Sorry, Iz. My bad...”
            Aku hanya mengiyakan. Malas hendak bergaduh walaupun sedikit sebanyak aku terasa hati dengan apa yang berlaku.
            “Kau sihat, Iz? Jom lunch sama hari ni.”
            “Aku dah makan masa balik hospital tadi.”
            “Hospital? Siapa sakit?”
            “Aku...”
            “Sakit apa? Kenapa tak beritahu aku?”
            “Biasalah tangan aku ni. Hari tu sakit lepas balik dari hiking dekat Gunung Cantik tu.”
            “Aduh Iz. Kau buat aku risaulah. Tak payahlah pergi hiking lagi.”
            “Kalau aku tak pergi, aku bosanlah. Kau pun bukannya ada masa untuk aku sangat...” kataku perlahan. Meluahkan perasaan yang terpendam.
            “Iz...” nada suara Riz mula perlahan. Memujuk.
            “Aku minta maaf. Aku tahu aku tak dapat banyak luangkan masa untuk kau. Aku janji, lepas semua dah stabil, aku sentiasa ada untuk kau Iz...”
            “Yelah. Aku tahu keadaan kau macam mana. Takkan aku nak pentingkan diri sendiri pula.”
            Thank you, Iz. Aku tahu kau sentiasa support aku.”
            Welcome...” balasku hambar.
            “Doktor cakap apa tadi?” Riz kembali ke topik perbualan kami sebentar tadi. Aku pun turut terlupa tujuan sebenar aku menghubungi dia.
            “Dia suggest buat surgery. Next appointment set tarikh. Kalau tengok cara doktor cakap tadi, mungkin bulan depan...”
            “Bulan depan?” wajah Riz mengeruh. “Aku sibuk bulan depan, Iz...”
            “Tak apa. Bukannya kau kena ada dalam dewan bedah tu pun...” usikku.
            Riz tidak menjawab. Lama dia diam di hujung talian. Yang kedengaran hanyalah bunyi nafasnya saja.. Aku terasa serba-salah. Salah cakap ke apa yang aku cakap tadi?
            “Okeylah Riz. Aku ada kerja nak buat. Kau tu... sibuk, sibuk juga. Jangan sampai skip makan.”
            “Hrm... Ok Iz. Take care,” katanya sebelum menamatkan panggilan.
            Aku memandang skrin telefon yang sudah gelap. Nafas aku hela perlahan. Terasa hubungan kami semakin lama semakin hambar. Tidak seperti sewaktu awal-awal persahabatan kami dahulu. Akukah yang cepat berubah hati ataupun kami yang tidak sehaluan lagi?



Dia Superstar 08
            Aku hanya ketawa apabila mendengar rakan-rakan lain mengusik sesama mereka. Anas hanya mampu menggelengkan kepala apabila namanya dipetik. Sesekali dia membalas usikan rakan-rakan lain dengan jawapan yang membuatkan mereka semakin ketawa besar. Semuanya mereka lakukan semata-mata tidak mahu aku takut untuk melalui pembedahan nanti.
            “Riz tak datang?” soal Anas secara tiba-tiba. Aku yang sedang mendengar Fatihah bergurau dengan Hani menoleh.
            Sorry kau tanya apa tadi?”
            “Riz. Boyfriend kau. Dia tak datang ke?”
            Aku menggeleng. “Dia ada schedule. Lepas ni baru datang.”
            “Hrm... belum lagi jadi artis popular.”
            Aku hanya diam. Malas hendak memanjangkan cerita. Tambahan pula, tak ada eloknya aku mengeluh tentang Riz pada Anas yang aku tahu pernah ada hati pada aku. Buat memburukkan keadaan je.
            “Okeylah Iz. Kitorang nak gerak balik dah. Mudah-mudahan semua berjalan lancar nanti, ya!” ujar Hani mewakili rakan-rakan yang lain.
            “Amin... thanks korang sebab datang...”
            Thanks dekat Anas jugak sebab dia yang arrange supaya semua dapat ikut. Dia kepalanya.”
            Aku hanya ketawa. Mesti Hani nak menyakat aku dengan Anas ni. Tetapi aku perasan. Sejak balik daripada camping dekat Gunung Cantik, tak ada langsung orang bercerita tentang aku dengan Anas. Entah apa agaknya Anas ugut budak-budak ni. Tetapi melihat cara masing-masing pun bukan jenis membawa mulut. Jenis bila bercerita, habis dekat situ je.
            Thanks Anas,” kataku kemudian.
            Tiba-tiba saja telinga Anas bertukar merah. Aku sudah ketawa melihatkan reaksinya. Malulah tu!
            “Apa-apa updatelah. Kitorang balik dulu.”
            Aku mengangguk dan tersenyum. Tidak lama kemudian, bilik yang tadinya riuh dengan bunyi suara kembali sunyi sepi. Aku menekan alat kawalan jauh untuk menghidupkan televisyen. Tiada rancangan yang menarik, aku sekadar membiarkan satu siaran terpasang tanpa menghiraukan apa yang ditayangkan. Nafas aku hela perlahan. Bosan juga rupanya duduk di dalam wad seorang macam ini.
            Aku mengiringkan badan. Telefon bimbit yang aku letakkan di bawah bantal aku keluarkan. Sedikit sebanyak aku rasa terkilan kerana tiada mesej daripada Riz bertanya khabar. Hanya Anas orang terakhir yang menghantarkan pesanan. Ah... kenapa aku mula membandingkan Riz dan Anas?
            + Yana tengah buat apa?
            Aku tersenyum apabila tiba-tiba saja mesej daripada mama masuk
- Yana tengah baring je ni. Baru je kawan-kawan balik tadi.
            + Ok. Mama baru sampai bandar ni. Menghala ke hospital.
            - Ok, ma. Hati-hati.
            Aku meletakkan kembali telefon bimbit di celah bantal. Nafas aku hela perlahan. Membayangkan surgery yang bakal aku lalui nanti membuatkan aku tiba-tiba saja seram sejuk. Aku bangun untuk ke bilik air. Isma pesan, kalau seorang diri dan susah hati, ambil wudhuk dan pergilah mengaji. Harap-harap petua yang Isma berikan ini menjadi.
            Aku hanya berjaya membaca dua muka surat di dalam surah Al-Baqarah. Itu pun penuh dengan dugaan bila mana ada saja sebutan aku yang tersilap. Lidah pula bagai tahu-tahu saja setiap kali aku salah menyebut. Masuk ayat terakhir dia muka surat yang kedua, tiba-tiba mama membetulkan sebutan aku. Aduh! Nampak benar sudah lama tidak mengaji.
            “Teruk bacaan Yana...” tegur mama.
            Aku hanya mampu tersengih.
            “Bacalah Al-Quran tu hari-hari. Satu ayat pun tak apa...” ujar mama.
            Aku sekadar mengangguk. Biasa dah dipesan itu-ini oleh mama. Mama memang ambil berat betul tentang ibadat wajib dan sunat ni. Cuma anak-anaknya je yang berat tulang sedikit.
            “Tadi siapa kawan-kawan yang datang?” soal mama.
            “Kawan-kawan hiking, ma...”
            “Anas pun ada sekalilah?”
            Aku mengangguk.
            “Riz tak datang?”
            Aku menelan air liur. Ish mama ni... kenapa mesti dia tanya tentang Riz masa-masa macam ni? Sudahlah aku tengah berjauh hati dengan Riz.
            “Dia ada schedule.
            “Hrm. Itulah siapa suruh kamu nak cari orang macam tu. Sakit pun tak dapat nak jenguk.”
            “Mama ni, sampai-sampai terus je nak kenakan Yana,” kataku sedikit tidak berpuas hati.
            Mama sekadar mengangkat bahu. Kemudian dia meletakkan barang-barang yang dia bawa untuk bermalam dengan aku. Dengan mama, jarang aku berahsia. Hampir semua perkara aku akan kongsikan dengan dia. Mama pula melayan saja semua cerita yang aku sampaikan pada dia. Cuma macam tadilah, bersedia sajalah telinga bila dia mengenakan kita. Sakit hati tau!
            “Yana, cuba buka channel TvK, mama nak tengok cerita drama pukul tiga. Hari ni dah episod lima belas tu.”
            Aku mengerutkan dahi. Mama tak habis-habis dengan dramanya. Namun permintaan mama aku turutkan. Aku bergerak ke tepi katil. Ingin memberi ruang untuk mama baring sekali. Tanpa dipelawa, mama merebahkan badan di sebelah aku dan aku meletakkan kepala ke bahu mama. Mahu bermanja. Terlupa seketika kami berdua berada di hospital.
            ***
            “Yana...” sayup-sayup kedengaran suara mama memanggil aku.
            Aku cuba untuk membuka mata yang terasa berat. Kepala pula terasa pening-pening lalat. Kesan daripada ubat pelali yang doktor berikan mungkin.
            “Yana...” panggil mama lagi.
            Aku cuba untuk menyahut. Namun tekak terasa kering benar. Menyebabkan aku susah untuk mengeluarkan suara. Setelah beberapa kali berusaha, aku akhirnya berjaya membuka mata. Lama mata aku mengambil masa untuk fokus. Seketika kemudian barulah wajah mama nampak terang dipenglihatan aku.
            “Iz. Kau dah sedar?” soal satu suara yang aku cukup kenal.
Aku menoleh ke arah datangnya suara kasar itu. Riz sedang memandang aku dengan senyuman yang mekar di bibir. Seboleh-boleh dia berusaha untuk menyembunyikan keletihan yang terpancar di wajahnya.
            “Air...” kataku perlahan.
            Riz cepat-cepat menuangkan air ke dalam gelas dan menghulurkannya kepada aku. Mama pula membantu aku untuk bangun dan minum.
            “Macam mana Yana rasa? Okey ke?” soal papa yang sejak tadi jadi pemerhati.
            “Rasa tak selesa,” kataku jujur.
            “Mungkin kesan ubat dah habis. Tapi doktor cakap, surgery berjaya. Mudah-mudahan sakit Yana tu tak berulang.”
            Aku sekadar mengangguk mendengarkan kata-kata papa. Pandangan aku alihkan ke arah Riz. Luruh segala rasa rindu yang memenuhi ruang hati sejak kebelakangan ni.
            “Kenapa, Iz?”
            Aku tersenyum nipis dan menggeleng. “Thank you datang...”
            “Kau penting buat aku, Iz. Takkanlah aku nak buat tak tahu je? Mungkin aku lambat, tapi tak bermakna aku tak ambil berat.”
            Aku perasan mata Riz menjeling mama yang duduk di atas kerusi sedikit jauh daripada kami. Adakah dia menujukan kata-kata itu buat mama? Entah apalah yang mama basuh Riz agaknya tadi.
            “Aku tahu. Thanks. Aku appreciate masa yang kau luangkan untuk aku.”
            “Sama-sama. Terima kasih untuk kau juga sebab sentiasa sabar dengan aku sejak dua menjak ni.”
            Aku ketawa kecil. Geli hati pula bila asyik-asyik berterima kasih. Melihat Riz di depan mata dengan wajah lesu membuatkan aku terharu. Betullah kata orang, wang dan hadiah boleh dicari, dibeli. Tetapi masa dan perhatian itu tak akan dapat ditandingi.
            “Macam mana shooting hari ni?”
            Riz meraup wajahnya kasar. “Boleh tahan mencabar. Bukan senang nak jadi artis rupanya.”
            “Kau berebut sangat. Baru berapa bulan jadi model, dah nak lompat jadi pelakon...”
            “Rezeki. Tapi aku masih belajar lagi. Mujurlah crew dengan pelakon lain banyak membantu.”
            “Siapa hero dengan heroin?”
            “Hero Kamal Ariffin. Heroin Natalia Husna.”
            “Boleh tahan...” komen aku apabila mendengar dua nama pelakon terkenal tanah air yang memegang watak utama.
            “Itulah. Nanti mak cik boleh tengok aku dekat dalam televisyen pula.”
            Aku tahu Riz mengusik mama apabila melihat senyuman nakalnya. Mama pula menjeling geram apabila dia menjadi topik perbualan.
            “Berlakon, jadi popular dan dikenali ramai ni memang seronok, Riz. Tapi hati-hati dalam mengorak langkah. Banyak onak duri dalam dunia artis ni,” pesan papa tiba-tiba.
            Riz mengangguk faham. Hrm... belum lagi Riz debut sebagai pelakon, aku dah susah hati. Agak-agak boleh tak aku terima dia selepas dia terkenal nanti?

No comments: