Dia Superstar 01
Aku
memerhatikan dia yang sedang asyik bermain bola keranjang bersama
rakan-rakannya. Lariannya, lompatannya, segala-gala pergerakan dia di atas
gelanggang menarik perhatian aku. Dia itulah Riz. Pelajar senior di kolej yang
menjadi kegilaan pelajar perempuan lain. Termasuk juga aku. Sepuluh minit
berlalu, wisel ditiupkan menandakan latihan mereka sudah tamat. Aku
memerhatikan Riz bergurau dan bergelak ketawa bersama rakan-rakan sepasukannya.
Senyumannya... aduh! Handsomenya! Terus
menusuk ke hati aku. Kesannya bukan membuatkan hati aku sakit, tetapi
membuatkan hati aku penuh dengan rasa bunga-bunga.
Riz
yang sedang mengelap peluhnya dengan tuala putih mencapai botol air mineral
yang dihulurkan oleh pengurus pasukan. Seorang pelajar tahun tiga yang juga
merupakan salah seorang saingan aku. Saingan dalam merebut hati Riz. Siapa je
yang tak tahu Nini menjadi pengurus pasukan bola keranjang untuk mendekati Riz?
Aku mengetap bibir. Cemburu gila bila memikirkan perempuan itu lebih dekat
dengan Riz berbanding aku. Aku? Beginilah. Hanya mampu memerhatikan Riz dari
jauh setiap kali dia ada latihan. Di kolej pun, aku memerhatikan Riz dari jauh
bila dia ke kelas ataupun ke kafe. Bagaikan seorang stalker.
Aku
tersenyum apabila melihat Riz tidak melayan kata-kata Nini kepadanya. Entah
apalah yang Nini duk menggedik itu. Tiba-tiba seorang rakan pasukan Riz
menunjukkan ke arah aku. Riz menoleh. Terasa pandangan kami berbalas. Dada mula
berdebar dan hati mengalunkan irama indah. Riz tersenyum dan melambai. Muka aku
terus terasa panas. Serentak dengan itu kedengaran suara beberapa pelajar
perempuan menjerit suka.
“Riz!”
“Rizzz!!!”
“Dia
senyum kat akulah!”
“Mana
ada! Dekat akulah!”
Aku
menjeling beberapa pelajar perempuan yang bertelagah. Dengan itu aku tersedar,
aku bukan keseorangan. Masih ramai lagi gadis lain yang sama seperti aku.
Menaruh hati pada lelaki yang sama.
***
“Ada
training ke?” tegur Isma sewaktu aku
baru membuka pintu bilik.
Aku
mengangguk. Beg sandang aku letakkan di sebelah katil. Stokin aku tanggalkan
dan campak ke dalam bakul baju kotor. Kelajuan kipas aku pusingkan sehingga
maksima. Panas!
“Singgah
court basketball lagi?” soal Isma dengan senyuman senget.
Aku
menjeling Isma geram.
“Iya.
Dah memang court tenis sebelah court basketball kan. Singgahlah sekejap.”
“Hrm...
aku ada cerita best ni.”
“Apa
dia?”
“Tadi...
Riz reject perempuan lagi,” ujar Isma
pendek membuka cerita.
Zupp!
Laju telinga aku menangkap sepotong nama yang Isma sebutkan. Namun aku cuba
buat selamba. Aku membetulkan ikatan rambut. Lengan jersey aku sinsing sehingga
ke bahu.
“Ramai
jugalah yang nampak. Budak semester satu confess
dekat taman sebelah blok K tu. Straight
to the face je budak tu kena reject,”
cerita Isma lagi.
Aku
tersenyum nipis. Baru semester satu ada hati nak mengurat senior tahun akhir. Dia tak belajar dari sejarah ke? Tak tengok
berapa ramai reject list Riz tu sejak
dia semester satu?
“Tapi
sekurang-kurangnya... budak tu luahkan perasaan dia tau. Sekalipun Riz reject, at least dia dah cuba. Kau bila lagi?”
Tu
dia... itu yang Isma nak cakap sangat tu. Aku memusingkan badan menghadap Isma
yang sedang ralit dengan tugasannya.
“Aku
takkan confess. Tapi aku akan buat
dia confess pada aku,” kataku
ringkas.
Sebuah
senyuman sinis muncul di bibir Isma. Aku terasa di pandang rendah.
“Kau
ingat dia pandang kau ke? Cuba kau tengok sekeliling kau, berapa ramai lagi
perempuan yang cuba tarik perhatian Riz tu...”
Isma
berhenti daripada melakukan tugasnya. Kerusi dipusingkan ke arah aku dan kami
bertentangan mata.
“Aku
cakap ni bukannya apa. Aku tak nak dengar kau dok meroyankan si Riz tu bila dia
dengan perempuan lain. Masa tu kau gigit jari sajalah. Sekurang-kurangnya,
walaupun budak-budak yang kena reject
dengan Riz tu, diorang dah luahkan apa yang dia rasa. Biar kena reject daripada dok syok seorang diri
lepas tu makan hati,” kata Isma terus. Tak ada konar-konar lagi dah.
Aku
mengetap bibir. Tak semudah itu aku akan berterus terang dengan Riz. Tetapi ada
benarnya juga kata-kata Isma tadi. Aku menghela nafas berat. Isk! Tak dapat aku
bayangkan rasa malu kalau Riz tolak aku. Pasti kecoh satu kolej nanti, Izyana
pemain tennis nombor satu kolej kena tolak dengan Riz. Tak boleh... tak
boleh... maruah sebagai pemain tennis yang cantik bergaya wajib kena jaga.
“Malam
ni kau pergi lepak mamak lagi ke?" soal Isma yang sudah arif benar dengan
jadual hidup aku”
Aku
hanya mengiyakan. Hendak mengajak budak tu, memang haramlah Isma hendak
menjejakkan kaki ke kedai mamak tu. Tak ada class,
kata Isma.
“Sukan,
sukan juga. Lepak, lepak juga. Kawan, kawan juga. Jangan lupa kita ada lagi dua
tahun baru grad,” nasihat Isma.
Sekadar mengingatkan.
Aku
hanya mengangguk faham. Isma ni, walaupun cakap lepas, dia tetap kawan yang
baik. Sebab tu aku bertahan duduk sebilik dengan dia sampai setahun lebih.
“Suka,
suka juga. Jangan melepas sudah...” sambung Isma lalu ketawa.
Aku
mencapai bantal berbentuk bintang dari atas katil dan aku campakkan ke arah
Isma. Dia hanya ketawa kegirangan. Cis.
***
Bulat
mata aku apabila terpandangkan susuk tubuh seorang lelaki yang berjalan
menghampiri meja kami. Aku menelan air liur. Jantung mula berdebar, mengalunkan
irama indah. Meski hanya memakai jeans lusuh dan kemeja putih untuck yang tidak dikancing beberapa
butang atas menyebabkan Riz nampak lebih hot
daripada biasa. Pipi aku terasa panas sendiri. Cepat-cepat aku memalingkan
wajah ke arah lain. Mengelak daripada perubahan wajah aku dilihat oleh Riz.
“Sorry
lambat,” suara itu menegur kawan-kawan aku yang lain.
Aku
memberanikan diri untuk menjeling ke arah Riz. Lelaki itu sudah menarik sebuah
kerusi kosong dari meja sebelah dan duduk di sebelah Anas. Tenang Izyana...
tenang. Jangan gelabah.
Sewaktu
seorang pelayan tiba ke meja untuk mengambil pesanan, spontan aku mengangkat
muka dan pandangan aku berlaga dengan pandangan Riz. Pandangannya mencairkan
hati aku. Melihatkan reaksi aku yang kekok, Riz tersenyum.
“Izyana
belum order juga, kan?”
Aku
terkelu. Mana dia tahu? Dan yang lagi penting,mana dia tahu nama aku? Adakah
populariti aku sebagai pemain tennis nombor satu kolej juga sampai ditelinga
dia?
“Nak
minum apa?” soal Riz lagi dengan gaya yang cukup gentleman.
Oksigen...!
Oksigen...! Sesak nafas dah ni. Kenapa tiba-tiba rasa macam doa aku termakbul
malam ni? Serius, memang aku tak dapat tidur satu malam ni nanti.
“Izyana?”
panggil Riz lagi bila aku masih tidak memberikan reaksi.
Beberapa
pasang mata kawan-kawan yang lain sudah tertoleh-toleh ke arah kami. Aku
berlagak selamba. Mulut di buka untuk memberi jawapan. Namun tatkala aku
bersedia untuk menyebut milo ais, terdengar suara aku lari pitch. Riz sudah sakan mentertawakan aku. Kurang asam! Kantoi trang
tang tang aku gelabah berdepan dengan Riz. Huh!
Dia Superstar 02
“Eh,
belum tidur lagi?” aku menegur Isma yang masih berjaga. Jam sudah menunjukkan
hampir pukul dua pagi. Pelik bila melihat budak ni tak tidur lagi.
“Belum.
Tiba-tiba rasa mata segar. Sebab dah tidur petang tadi agaknya.”
Aku
mengangguk faham. Logiklah kalau begitu. Aku melangkah ke almari baju. Pintu
almari dibuka dan baju tidur aku keluarkan. Esok pagi ada latihan lagi pukul
tujuh. Dengan Mr. Sam sebagai trainer,
entah berapa roundlah aku kena
berlari sekeliling court esok.
“Nak
tahu dengar satu cerita tak?”
“Apa
dia? Kalau best aku nak dengar. Kalau
setakat kau dok nampak dan usyar Riz tu dari jauh, lain kalilah kau cerita. Compilekan jadi satu buku. Itu pun belum
tentu orang nak baca sebab tak ada klimaks dan peleraian.”
Aku
mencebik. Hampeh betul ada member macam ni.
“Sebab
benda bestlah aku nak cerita...”
“Hrm...
kalau macam tu, aku nak dengar. Ce cite...”
“Takdelah
apa. Tadi tengah lepak dengan budak-budak ni. Lepas tu...” cerita aku terhenti
tatkala menyarung baju tidur.
“Hish
cerita tu cuba jangan sangkut-sangkut. Buat orang sakit hati je
tertunggu-tunggu.”
Aku
ketawa. Seronok dapat mengenakan Isma. Kalau tidak asyik aku saja yang terkena.
“Kau
rasa, Riz kenal aku tak?”
Muka
Isma berubah. Geram agaknya aku tidak menyambung kisah aku tadi.
“Manalah
aku tahu. Dia tu popular kat kolej ni. Boleh jadi dia tak kenal kau. Tapi kau
pun bukannya orang tak kenal pun. Berapa kali dah naik stage dapat award.”
Aku
mengagguk faham. Betul... betul... betul... jadi tak payah nak perasan sangat
Riz tu dok perhatikan kau, Izyana. Boleh jadi daripada situ Riz tahu nama kau.
“So apa ceritanya? Kau ni... cerita tak
habis! Bosan betullah!” marah Isma.
Aku
ketawa kecil. “Tadi masa tengah lepak, Riz tiba-tiba datang join kitorang.”
Isma
tergamam. “Seriously?!”
Aku
mengangguk. “Siap tegur aku lagi. Berbual...”
“Woah...
doa kau makbul. So, agak-agak bila
dia akan confess dekat kau?” Isma
sudah ketawa besar. Pasti dia merujuk kepada kata-kata aku sebelum ni.
“Relaxlah. Slow and steady. Orang kata apa? Tarik rambut dalam tepung? Rambut tak
putus, tepung tak bersepah?”
“Ah!
Dah mula dah madah pujangga kau. Iz, kau jangan dok syok sendiri seorang je
tau! Aku tak sanggup nak dengar kisah cinta tak kesampaian ni. Hish... tak
sanggup...!”
Aku
mencebik. “Eh tapikan, kau perasan tak?”
“Apa
benda?”
“Nama
aku dengan Riz dekat-dekat. Riz, Iz...”
“Eeee
kau boleh tak jangan nak syok sendiri? Tolonglah!” Isma tayang muka
geli-geleman. Aku hanya ketawa. Sedikit pun tidak terasa hati dengan reaksi
dia.
“Aku
yakin, tak lama lagi aku yakin dia akan suarakan rasa hati dia pada aku.”
Isma
mencebik. "Hrm... We will see."
“Yeah... we will see…” ujarku yakin.
***
Sedar
tak sedar, sudah hampir dua bulan Riz ikut
group aku melepak. Aku pun sudah terbiasa dengan kehadiran dia. Paling
menggembirakan bila dia turut datang setiap kali aku ada latihan tenis. Seperti
sistem barter pula, aku menonton latihan dan perlawanannya, dia menonton
latihan dan perlawanan aku.
Aku berjalan perlajan keluar dari gelanggang
tenis sebaik saja latihan tamat. Sebaik saja tiba di bangku aku meletakkan beg
dan minuman, Riz sudah menghulurkan sebotol air minuman isotonik botol kecil
yang masih belum dibuka. Aku menyambut hulurannya dengan senyuman. Raket tenis
aku masukkan ke dalam beg dan sehelai tuala kecil aku capai untuk mengelap
peluh.
“Nice
game,” puji Riz.
“Thanks.
Lama dah sampai?”
“Masa kau start main tadi, aku dah
sampai.” Riz memerhatikan ke sekeliling. “Lepas ni nak ke mana?”
“Tak ada ke mana. Panaslah
tengah-tengah hari nak keluar. Kau tengok kulit aku ni dah burn.”
“Tak apa. Burn pun masih cantik.”
Aku yang sedang minum tersedak. Riz
yang sedang ketawa aku jeling. Biar benar budak ni? Isma oi! Riz cakap aku
cantik tau! Kau tunggulah sikit masa lagi dia cakap, I like you!
“Sorry
sorry. Tak sangka kau boleh
tersedak,” ujar Riz dalam ketawa.
Aku hanya mencebik. Namun dalam hati
dah melompat suka. “Kau nak ajak aku keluar ke?”
“Kau free ke?”
Aku mengangguk. “Aku nak balik kejap
mandi, tukar baju.”
“Ok je. Kau datang naik apa tadi?”
Aku menunjukkan kaki yang lengkap
berkasut sukan. “Jogging.”
Riz tayang muka kagum. Aku sudah
tergelak-gelak kerana dapat mengenakan dia. “Ada member hantarlah tadi. Dia ada program dekat surau.”
“Kurang asam kau. Aku mati-matilah
percaya.”
“Alah, saja je bergurau. Tapi aku memang
selalu jog pun. Bukannya jauh sangat hostel dengan kompleks ni.”
“Iyalah. Kita lunch jom. Aku laparlah... Lepas tu aku nak ke mall kejap cari barang.”
Tanpa banyak soal, aku bersetuju.
***
“Patutlah selalu reject bila ada perempuan confess. Rupa-rupanya tengah berkawan
dengan princess tu...”
“Itulah. Tak sangka high taste jugak.”
“Padanlah diorang tu. Sama-sama
aktif, sama cantik sama lawa!”
Aku sudah tersenyum-senyum mendengar
bisikan-bisikan beberapa pelajar perempuan yang sedang berdiri mengambil
makanan. Pasti mereka tidak sangka princess
yang mereka sebutkan ada di sini. Tak sangka rupa-rupanya hubungan aku dengan
Riz menjadi perhatian. Hah! Lupa pula yang Riz tu peminatnya seantero kolej.
Aku berpusing untuk kembali ke meja selepas membuat pembayaran. Pelajar yang
tadinya berbisik mengenai aku dan Riz sedikit terkejut. Aku sekadar
menghadiahkan sebuah senyuman kepada mereka.
“Dah kenapa senyum sorang-sorang
ni?” tegur Riz bila aku tiba di meja.
Aku akhirnya ketawa. “Tadi tu dengar
peminat kau berbisik-bisik pasal kau.”
“Ah... biasa dah...”
“Itu je?”
“Yalah. Habis tu kau nak aku buat
apa?”
Aku hanya menggeleng dengan
senyuman. “Aku tertanya-tanya, kenapa kau reject
setiap perempuan yang confess dekat
kau eh?”
“Itu ke yang diorang bisikkan tadi?”
Riz angkat kening bertanya. “Aku reject
sebab aku tak suka diorang? Itu pun aku nak kena explain ke?”
Wow...
wow... Riz dah tayang muka tak puas hati.
“Alah
relaxlah. Aku saja nak tahu. Habis
kalau perempuan yang kau suka confess
kat kau, kau terimalah?”
“Mungkin?
Sebab perempuan tu masih tak cakap apa-apa lagi pada aku.”
“Hrm...”
Aku
menghirup minuman yang aku beli tadi. Bahaya ni. Buatnya perempuan tu confess dulu sebelum Riz confess pada aku, memang Isma
bergolek-golek seronok mentertawakan aku.
“Tapi
kalau aku, aku still berpegang pada
prinsip, lelaki kena mulakan.”
“Oh
ya? Tapi, aku ni hot stuff kot.”
“Eee...
tolonglah. Tak payah nak perasan sangat!” aku mencebik. Tangan aku dekatkan
dengan pipi Riz.
“Eh,
kenapa?” Riz sedikit terkejut.
“Tengok?
Tak terbakar pun.”
Riz
ketawa. “Memanglah. Kalau terbakar, lain jadinya. Lagipun, betul apa aku hot stuff? Hatta kau pun selalu usyar
aku main basketball, kan?”
Zupp!
Itu dia. Kawal situasi, Izyana. Kawal situasi.
“Kau
ingat kau seorang ke yang hot kat
situ?”
“Iyalah.
Kalau tak, takkanlah masa aku ada je kau datang tengok? Teammate aku kata, kalau aku tak ada, kau pun tak ada?”
Aku
mencebik. Siapalah teammate dia yang
tajam sangat matanya ni?
“Kalau
suka, katakan suka. Tidaklah hamba ternanti-nanti...” ujar Riz tiba-tiba.
Entah
kenapa aku rasa kata-kata itu bagaikan ditujukan kepada aku. Aku mengetap
bibir. Gila! Buatnya kata-kata itu bukan untuk aku, jatuh maruah aku nanti. Aku
menyuap makanan ke dalam mulut. Aku harap Riz ni tak adalah jahat sangat sampai
mempermainkan aku. Budak-budak lelaki ni bukannya betul sangat. Buatnya dia bet dengan kawan-kawan dia untuk buat
aku confess, naya. Hrm...
Dia Superstar 03
Aku menahan rasa sakit setiap kali
tangan diangkat untuk membalas pukulan lawan. Peluh sejuk mula merenik di dahi.
Sudah hampir dua minggu aku menahan rasa sakit tanpa mengkhabarkan kepada Mr.
Sam. Bola tennis laju membelah angin dan menghala ke gelanggang aku. Aku
mengambil posisi untuk membalas pukulan lawan. Zap! Sakit itu datang kembali.
Tak sempat aku menghayunkan raket, bola sudah pun jatuh ke dalam kawasan dan
mata dapat pada pihak lawan.
“Game,
set, match. Game won by Michelle.”
Aku menghela nafas berat. Sambil
berjalan ke tengah gelanggang untuk bersalam dengan Michelle, aku mengurut-urut
bahu aku yang terasa sakit. Selesai bersalam, aku berjalan keluar dari
gelanggang tenis. Mr. Sam memandang aku dengan riak tidak puas hati.
“What
happened to you, Izyana? Performance awak beberapa minggu ni makin
merundum. Ada apa-apa masalah ke?” soal Mr. Sam serius.
Aku menggeleng perlahan. Mungkin aku
terlalu penat dan terlalu memberikan tekanan pada bahu ini. Rehat seminggu dua
nanti oklah....
“Jangan sebab bercinta, performance awak pun jatuh.”
Aku mengetap bibir. “Saya minta maaf
coach. Mungkin fokus saya kurang
sikit seminggu dua ni.”
“Tournament
kita dah dekat. Awak jangan main-main. Baik awak settlekan segala masalah awak. Jangan bawa masuk ke dalam
gelanggang. Faham?”
Aku mengangguk lemah. Langkah diatur
ke arah bangku yang aku letakkan barang-barang aku. Riz hanya memandang dengan
wajah prihatin.
“Betul kau tak apa-apa ni?”
Aku memandang Riz sekilas. Pasti dia
mendengar teguran Mr. Sam sebentar tadi. Aku mengangguk meyakinkan.
“Kau nampak tak sihat. Kalau sakit,
beritahulah Mr. Sam. Prevention is better
than cure, tau!”
“Aku ok. Pandailah aku jaga badan
aku. Kau tak ada training hari ni?”
Riz mengangguk. “Ada, petang ni. Kau
nak datang? Boleh pergi sekali.”
“Tengok dulu. Aku rasa tak berapa
sihat ni...”
“See?
Betul aku cakap kau tak sihat. Tadi beriya menafikan. Jom kita pergi klinik.”
Aku ketawa kecil mendengarkan nada Riz
yang cukup risau. Kepala aku gelengkan perlahan.
“Tak
apa. Aku nak rehat je dekat bilik,” tolakku.
“Degil.” Riz mengeluh perlahan.
***
Termenung aku apabila teringatkan
kata-kata doktor sewaktu aku ke hospital untuk mendapatkan rawatan. Sakit yang
hampir tiga minggu aku tahan semakin menjadi-jadi. Hujung minggu hari tu pun
aku minta pelepasan daripada berlatih dengan Mr. Sam. Bising Mr. Sam apabila aku
seolah-olah mengambil ringan tentang latihan.
Aku termenung meskipun kafe
riuh-rendah dengan suara pelajar kolej yang keluar makan tengahari. Nasi tomato
dan ayam masak merah yang aku makan pun bagaikan tidak terasa ditekak. Selera
aku putus. Sejak balik daripada bertemu dengan doktor empat hari lepas,
beginilah keadaan aku. Bagai terngiang-ngiang kata-kata doktor sewaktu di
hospital.
“Berhenti main atau awak langsung
tak boleh pegang raket lagi,” kata doktor itu selepas menyebut beberapa terma
medikal yang aku tidak fahami.
Aku meletakkan sudu dan garfu
apabila tekak sudah tidak boleh menerima makanan lagi. Jus oren aku teguk.
Kemudian, aku mencapai beg dan fail untuk pulang ke bilik. Baru aku hendak melangkah,
mata aku menangkap susuk tubuh Riz yang sedang berjalan ke arah aku.
“Duduk dulu, Izyana. Takkan nampak
aku terus kau berhenti makan? Nak lari daripada aku?” Serius Riz menuturkan.
Aku menghela nafas berat. Bila masa
pula aku melarikan diri daripada dia? Tapi aku tak nafikan, lama aku tidak
berjumpa dengan Riz. Aku banyak terperuk di dalam bilik saja melayan perasaan. Mesej
Riz pun aku balas bila rasa hendak balas. Riz sudah menarik beg aku, menarik
aku untuk kembali ke meja.
“Kau ada masalah ke?”
Aku menggeleng.
“Kalau tak ada masalah, takkan
langsung tak turun latihan? Langsung tak jumpa aku?”
“Aku tak sihat.”
“Sampai tarik diri untuk tournament?”
“Apa yang Mr. Sam beritahu kau?”
Riz merenung aku lama. Cuba membaca
setiap reaksi wajah aku.
“Mr. Sam jumpa aku. Dia cakap sejak
berkawan dengan aku, prestasi kau menurun. Dia suruh aku jumpa kau. Pujuk kau
untuk main balik.”
Aku mengeluh. Riz tidak langsung
menjadi punca prestasi aku menurun. Sejak berkawan dengan dia, sejak aku tahu
dia turut memerhatikan aku dari jauh, semangat aku beraksi di atas gelanggang
semakin menyala.
“Ceritalah kalau ada masalah. Jangan
pendam sorang-sorang.”
“Aku tak boleh main tenis lagi.
Maksud aku, secara serius.”
Dahi Riz berkerut.
“Tangan aku ada masalah. Aku pun tak
faham apa yang doktor cakap. Penjelasan dia langsung tak masuk ke kepala aku.
Yang aku tahu, aku kena buat fisioterapi. Doktor suruh aku berhenti main secara
serius atau aku langsung tak boleh main tenis lagi. Paling teruk, aku kena buat surgery.”
“Wow...” Riz meraup wajahnya
perlahan.“This is getting serious,” gumamnya
perlahan.
Aku tersenyum nipis. “Sorry
Riz. Kau tak dapat tengok aku beraksi atas court
lagi. I have lost my charm.”
“Kenapa fikir macam tu? Buat masa
sekarang ni, kesihatan kau lagi penting,” pujuk Riz. Aku termenung memerhatikan
pelajar yang keluar masuk kafe.
“Hei. Sudahlah tu. Tak dapat main
tenis tak bermaksud hidup kau dah berakhir. Kau masih ada aku.”
Aku memandang Riz lama. Fikiran aku
kosong.
“Kau cakap apa tadi?”
Wajah Riz tiba-tiba saja bertukar
merah. “Tak ada apalah. Petang ni aku ada practice.
Kau turun?”
Aku diam berfikir. Masih tiada mood
untuk turun ke gelanggang sebenarnya.
“Tak payah fikir banyaklah. Jom. Kau
tak ada, aku tak ada semangat tau nak main!”
“Tak ada aku, tak ada semangat
konon. Sikit punya ramai peminat kau tengok kau main basketball tau!”
“Dua tiga kucing parsi, Izyana...”
Riz berkias.
“Maksud kau?”
“Dua tiga kucing parsi, mana nak
sama kucing tempatan. Dua tiga boleh aku cari, mana nak sama cik adik di
depan.”
Dahi aku berkerut. Otak ligat
mencerna pantun empat kerat yang Riz tuturkan. Mana nak sama yang ada di depan?
Wow... Riz tengah luahkan perasaan dia ke macam mana ni? Atau sekadar mengusik
untuk memujuk hati aku yang tengah walang?
***
Riz ligat beraksi di atas gelanggang
sementara aku memerhatikan dia dari tempat duduk penonton. Sejak gosip di
antara aku dengan Riz heboh dalam kolej, aku perhatikan peminat Riz semakin
bertambah pula. Tak sangka, ramai rupanya yang mendoakan kebahagiaan kami. Hah!
Kelakar sungguh! Walaupun begitu, aku sentiasa mengaminkan doa-doa baik mereka.
Manalah tahu lekat jodoh aku dengan lelaki superstar ini.
Aku mengeluarkan telefon bimbit dari
dalam beg apa bila terasa ada getaran halus. Sebuah mesej daripada Isma aku
baca sekali lalu. Bertanya keberadaan aku. Laju aku menaip patah-patah
perkataan dan menghantar balasan untuk Isma.
Tamat latihan Riz, sempat dia
lambaikan tangan dan menghadiahkan senyuman kepada aku sementara dia
mendapatkan Nini yang sudah bersedia dengan tuala kecil dan air minuman.
Mencuka wajah Nini apabila Riz tidak memberikan perhatian kepadanya. Lawak.
Rasanya, Nini salah seorang yang melompat bila mendengar skandal aku dengan
Riz. Aku menghela nafas perlahan. Riz, bila kau nak luahkan perasaan kau ni.
Aku tak faham kiasanlah! Salah faham, lain jadinya.
So,
bila agaknya Riz nak confess dekat
kau? Hahaha – Isma
Aku merengus geram. Hampeh betul
dapat roommate macam ni.
***
“Aku ada berita nak bagitahu kau
ni,” ujar Riz sewaktu kami sedang makan malam di kafe berdua.
Mendengarkan kata-katanya, aku
mengangkat muka daripada memandang nasi goreng. “Apa dia?”
Riz sudah senyum lebar. Tiba-tiba
sahaja sebuah sampul surat berwarna putih dia keluarkan dari fail dan dia
letakkan di hadapan aku.
“Apa tu?” aku menyoal seraya
mencapai gelas berisi teh ais.
“Aku dapat offer untuk jadi model.”
Aku
tersedak dan terbatuk-batuk. Mata aku membulat sewaktu Riz mengeluarkan sehelai
surat dari dalam sampul dan beberapa helai kertas yang aku yakini salinan surat
perjanjian.
“Aku
tak tahu pulak selama ni kau minat ke bidang tu?”
Riz
sekadar mengangkat kening dengan senyuman. “Minat tu dah lama ada. Cuma peluang
tu baru datang hari ni.”
“Hrm...
macam mana boleh dapat offer tu?”
“Bulan
lepaskan aku ada game dekat Kolej
Bitara. So, lepas habis tu, ada
seorang perempuan approach aku, bagi bussiness card.”
Aku terdiam. Hendak kata apa lagi
kalau Riz nampak gembira dengan tawaran yang tiba. Hai... bertambah lagilah
peminat Riz di luar sana.
“Kau tak nak cakap apa-apa? Bagi
kata-kata semangat ke?” soal Riz bila aku tidak memberikan apa-apa komen dengan
berita yang disampaikan.
Aku menguntum senyuman kecil. “Kalau
itu minat kau, go for it.” Pendek saja
kata-kata aku.
Senyuman
Riz melebar. “Aku tahu kau selalu support
aku, Iz. Jangan risau, aku tetap Riz yang sama walaupun dah terkenal nanti.
Hahahaha!”
Aku sekadar mencebik. Berangan betul.
Tapi, tak perlu jadi model pun untuk Riz jadi terkenal. Cukup sekadar menjadi
pemain terbaik kelab bola keranjang dah membuatkan populariti Riz tersebar
sehingga ke kolej-kolej lain. Aku mengeluh perlahan. Terasa rendah diri apabila
berdiri di sebelah Riz.
Riz
ibarat sekuntum bunga ros yang semakin memekar sedangkan aku? Gelanggang bukan
lagi tempat mainan aku. Nama aku sudah tidak disebut-sebut lagi sebagai pemain
tenis terbaik untuk kolej. Kini aku hanya menjadi seorang siswi yang menjalani
hidup-hidup seperti siswi lain. Kehidupan yang terlalu normal dan terlalu
hambar.
Dia Superstar 04
“Jadi dia masuk bidang modelling sekarang?” soal Isma serius.
Aku mengangguk lemah. Sejujurnya aku
langsung tak gembira dengan keputusan Riz. Tetapi siapa aku untuk menghalang?
“Hrm...” Isma sekadar mengangguk
kecil.
“Kau pun speechless kan?” aku ketawa kecil tetapi hambar.
“Well,
dia ada rupa, ada gaya, tinggi pula tu. Memang tengok muka pun dah boleh nampak
stok-stok model pun,” komen Isma.
“Kau
cakap aku speechless? Aku memang tak
pernah berminat pun dengan Riz tu. Jadi benda ni tak bagi impak pada aku je.
Kau tu ajelah, mesti speechless
habis,” sambung Isma lalu menjeling aku sekilas.
“Status kau dengan dia sebenarnya
macam mana?” soal Isma bila aku hanya mendiamkan diri.
“Macam itulah.”
“Korang ni berkawan serius ke,
berkawan baik ke, kawan biasa ke atau macam mana?
“Define
setiap term kawan kau tu.”
“Kawan serius, bila kau berkawan
dengan seseorang tu untuk kahwin. Berkawan baik pulak bila semua perihal
peribadi dalam tangan masing-masing. Tak ada simpan perasaan antara satu sama
lain. Tak pun, salah seorang tu kena friendzone
tapi masih boleh lepak sekali. Berkawan biasa pulak kawan lepak sekali je sebab
bosan tak ada kawan lain,” jelas Isma mengikut piawainya.
Aku tergelak kecil. “Kalau macam tu,
aku dengan dia level kawan biasa lagilah agaknya. Kitorang belum pernah friendzonekan masing-masing lagi.”
Isma
menggeleng perlahan. “Beritahu ajelah pak cik tu kau suka dia...” ujar Isma give up bila mendengar kisah aku dengan
Riz yang asyik bermain tarik tali.
“Tak boleh. Lelaki kena mulakan
dulu.”
“Zaman sekarang ni, kalau kau pegang
kata-kata tu, alamatnya melepas.”
“Insya Allah tak...” ujarku separuh
yakin.
***
Aku mencedok nasi putih ke dalam
pinggan sehingga penuh. Kemudian, aku melangkah ke arah tempat letaknya
lauk-pauk. Sesekali aku tersenyum membalas sapaan orang. Sesekali pula mataku
melilau mencari susuk tubuh Riz yang masih belum tiba. Jam sudah menunjukkan
puluk dua belas tengahari. Perut sudah berkeroncong lapar. Lambat lagi ke pak
cik ni?
“Air?” soal lelaki, tukang bancuh
air.
“Teh ais. Teh lebih, susu kurang.”
Aku meminta dengan senyuman. Lelaki itu turut membalas senyuman aku. Sudah
biasa dengan cara aku meminta air.
“Okey...” ujar lelaki yang dikenali
sebagai Ery itu. Tidak sampai dua minit, air yang aku minta siap. Ery
menghulurkan gelas kepada aku.
“Terima kasih.”
“Sama-sama. Seorang je?”
“Tak adalah. Tunggu kawan.”
“Oh...” Ery sekadar mengangguk.
Kemudian dia menyambung kembali tugasannya apabila ada pelajar lain meminta
air.
Aku memilih meja di sebelah tiang
dan menghadap televisyen. Lima minit berlalu, bayang Riz masih belum kelihatan
lagi. Aku merengus geram. Nasi dengan lauk pun dah sejuk dek kerana menunggu
Riz. Semalam beriya-iya dia berjanji hendak makan tengahari sekali. Bila aku
menolak, dia memaksa. Katanya dah lama tak jumpa. Mana tidaknya, sibuk sangat
dengan modelling dia tu.
Sejak Riz terima tawaran menjadi
model sebulan lepas, kehidupan dia tak sama lagi seperti dahulu. Mujurlah dia
masih mengambil berat perihal belajar. Habis saja waktu kelas, Riz sudah ke
studio untuk bergambar.
“Lah...? Dah habis dah?” rungut Riz
sewaktu dia tiba dan melihat aku sudah selesai menjamu selera. Seroang diri
pula tu. Huh!
“Dah kau lambat setengah jam. Aku
makanlah dulu. Lapar tahu?” ujarku sedikit geram.
Riz tersengih tanpa rasa bersalah.
Kemudian, dia meminta aku menunggu dia sementara dia pergi membeli nasi campur.
“Lama betul tak lepak dengan kau.”
Aku mencebik. “Dah kau sibuk sangat.
Mana dengan modelling, mana dengan practice basketball, mana dengan
belajarnya lagi...”
“Itulah dia... sementara tengah ada job ni, aku ambillah. Nak bina nama.
Manalah tahu ada rezeki aku jadi pelakon pula,” Riz mengangkat kening dan tersenyum
manis.
Aku sekadar mengangkat bahu. Tak
minat hendak menambah apabila Riz bercerita tentang pekerjaannya.
“Aku tengok kau makin berisi
sekarang. Kenapa ye? Berat kau naik kan?”
Panas muka aku mendengarkan soalan
yang Riz lontarkan. Aku mengetap bibir.
“Kau
dah lama tak lepak aku, terus insult aku
kan? Mulut, takde tapis langsung!” tegurku geram.
Riz
sekadar ketawa. Mungkin dia ingat aku bergurau. Sedangkan, hati yang panas dan
malu hanya Allah yang tahu. Bukan tak sedar berat badan semakin naik. Kalau
dahulu, aku makan banyak, kalori-kalori semua aku bakar sewaktu bermain tenis.
Mungkin disebabkan dah terbiasa dengan portion
makanan yang banyak semasa sibuk dengan tenis menyebabkan badan aku naik agak
mendadak.
“Hai...
rindu kat kau. Sekarang ni aku main basketball
pun kau dah tak nak turun.”
“Aku
malaslah...” kataku perlahan. Malas hendak mendengar peminat-peminat Riz yang
menjerit namanya setiap kali dia berjaya memasukkan bola ke dalam jaring. Malas
hendak berlawan dengan perasaan setiap kali merasakan kekurangan diri yang
sudah tiada apa lagi untuk dibanggakan.
“Kau
dah tak suka aku ke?”
Aku
tersentak. Betul ke apa yang aku dengar tadi? Pandangan aku beralih ke arah Riz
yang asyik mengunyah.
“Kau
tanya apa ni?”
“Tak
adalah. Dulu, kau selalu ada bila aku practice.
Sekarang kau dah tak nak turun. Lepak dengan budak-budak ni dekat mamak pun kau
tak nak. Aku ajak jumpa pun payah sekali kau setuju. Kau ada masalah ke, Iz?
Ceritalah pada aku. Kitakan kawan...”
Aku
menghela nafas perlahan. Ingatan melayang teringatkan definisi pelbagai jenis
kawan yang Isma pernah beritahu dahulu. Kawan biasa, kawan baik dan kawan
serius. Mungkinkah selama ni, Riz hanya menganggap aku sebagai kawan baik?
***
Aku
menyelak majalah untuk remaja yang Isma beli. Budak Isma ni memang rajin
mengumpul koleksi majalah ni sehingga dia sanggup langgan setiap bulan selama setahun.
Aku menyelak helaian demi helaian di dalam majalah tersebut. Bermula daripada
prakata daripada editor sehinggalah pandangan aku terhenti ke arah helaian yang
memaparkan model memperagakan pakaian sukan. Aku menelan air liur. Riz nampak
sungguh kacak dan bergaya sekali menggayakan pakaian sukan jenama terkenal di
tanah air.
Aku
menghela nafas perlahan. Aku yang melihat Riz sudah jatuh hati. Agaknya berapa
ramai lagi gadis yang jatuh hati apabila melihat gambar Riz begini? Agak-agak,
ada tak gadis yang menggunting gambar Riz dan tampal di dinding-dinding bilik
mereka? Hati aku tiba-tiba diterpa rasa cemburu.
Aku
menutup majalah dan letakkan ke atas meja belajar Isma. Kemudian, aku melangkah
dan berdiri di hadapan cermin yang cukup untuk membantu aku melihat pantulan
dari hujung rambut sampai hujung kaki. Kedua belah tapak tangan aku lekapkan ke
pipi. Aku menelan air liur. Teringat kata-kata Riz menegur dua minggu lepas.
Perasan rendah diri mula menguasai diri. Argh... ini tak boleh jadi!
Aku
mendapatkan telefon bimbit di atas katil. Nama Anas aku cari daripada dalam
senarai nama. Kemudian, nombornya aku dail.
“Helo, Anas.”
“Helo,
princess! Lamanya membawa diri. Apa
cerita?”
“Minggu
ni, korang pergi hiking kat mana?”
“Aik?
Kau nak join kitorang hiking pulak ke?”
“Cadangnya
macam itulah. Aku sejak quit tenis,
rasa terlebih masa sangat pula. Sampai aku isi masa aku dengan isi perut.”
Anas
sudah ketawa besar di hujung talian.
“Kau
sure ni kau fit untuk hiking?”
“Insya
Allah, okey rasanya...” ujarku separuh yakin.
Silap
betul lepas quit tenis hari tu aku
tak sibukkan diri bersenam untuk maintain
stamina aku. Tiba-tiba rasa tak yakin aku boleh memanjat gunung bersama-sama
kumpulan Anas.
“Dua
minggu lagi kitorang nak naik Gunung Pelangi. Kalau kau betul nak ikut, aku
boleh arrangekan.”
“Nak...
nak!” pantas aku membuat keputusan.
“Cuma...”
Tiba-tiba aku terfikirkan sesuatu.
“Apa
dia?”
“Aku
tak ada kelengkapan untuk hiking.
Teman aku beli boleh?”
“Oh...
boleh je. Untuk beg, kebetulan aku pun ada satu beg extra. Nanti kau gunalah dulu.”
“Serious ke ni?” aku sudah teruja.
“Iye...”
“Wahhh
thank you Anas! Kaulah kawan aku
dunia akhirat!”
“Iyalah
kau. Dapat lepak dengan pak cik model tu, kitorang semua kau lupa,” sindir
Anas.
Aku
hanya menyambut kata-katanya dengan ketawa. Ketara sangatkah perubahan aku?
No comments:
Post a Comment